Short Diary D-365

Amygdala, hippocampus dan prefrontal cortex aku masih kukuh.

"Ikhlas."

Itu sepatah perkataan yang boleh menyimpulkan iktibar tahun 2021 aku. Lalu selangkah saja aku memasuki 2022, usaha untuk ikhlas itu aku sematkan dalam dada. Erat-erat aku pasakkan dalam diri.

Tapi hari tak selalunya indah, langit tak selalunya cerah dan hidup tak selalunya mudah. Pasti ada mehnah.

Kata dasar perkataan manusia adalah daripada na-si-ya; lupa. Dan aku lah si pelupa yang pincang keimanannya dan yang tak benar-benar bersungguh, mungkin? Kerana kesungguhan yang asalnya dari hati kini sikit demi sikit beralih, bercicip sekadar di mulut. Tekad dah kian pudar. Kerana sungguh, betapa sukarnya untuk menjadi ikhlas dalam setiap saat dan taat.

'Adakah hari-hari ini dijalani hanya sekadar rutin?'
'Adakah detik-detik ini sudah hilang nilai pahalanya?'

Penghujung 2022 menjadi saksi. Apakah aku berjaya atau gagal, natijah yang aku sendiri tak tahu.

"Ikhlas itu umpama semut hitam, yang berjalan di atas batu hitam di malam yang gelap-gelita."

Jadi wahai hati, ini perihal engkau sama Tuhan. Sekali lagi aku bilang bahawa, aku juga tak tahu.

Maka amalan apa yang boleh aku bentangkan di hadapan Tuhan kelak? Amalan zahir aku juga sudah lah sikit, nak nak pula dengan hati yang begini.

Duhai raja segala anggota, muhasabah lah kerana perjuangan hati ini masih belum lagi tamat. Keikhlasan adalah life-long journey. Impian dan harapan setiap dari kita yang ber-Tuhan.


Ya Allah, kurniakan lah kami keikhlasan dalam meraih redha-Mu.

Comments

Popular posts from this blog

Bedtime Stories